
Disember 2005 Bilangan 38 kerana tertera pada artikel itu Siri 1.
Pada keluaran Jun 2008 Bilangan 68, masih ada kolum untuk Islam Di China tetapi bukan Ann Wan Seng kolumnisnya. Mungkin saya boleh buat kesimpulan sepanjang pembacaan artikel-artikel itu, buku Rahsia Islam di China adalah kompilasi artikel-artikel yang tersiar di Majalah I kelolaan Ann Wan Seng.
Rahsia Islam Di China mengandungi 24 bab dan di tengah-tengah halamannya mengandungi foto album. Saya membahagikan buku ini kepada 5 bahagian yang penting.
Bahagian 1 membincangkan bagaimana Islam mula sampai di China, Bahagian 2 lebih menerangkan pengaruh Islam di China dari segi kebudayaan, seni,masjid, Bahagian 3 pula penerangan hubungan Islam dengan pihak dinasti China, Bahagian 4 menceritakan tentang tokoh-tokoh Islam yang wujud di China dan Bahagian 5 adalah penglibatan umat Islam dalam gerakan pembebasan dan perjuangan mempertahankan Islam di China.
Rasulullah saw menggutus para sahabat ke China untuk menyampaikan ajaran Islam bermula 1H lagi. Pada masa itu, China diperintah oleh Dinasti Tang (618-907M). Namun begitu dikatakan, usaha yang bersungguh-sungguh untuk berdakwah ke China hanya bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Usman bin Affan.
Pada masa ini, seramai 15 orang diutus yang diketuai oleh Saad bin Abu Waqqas. Tetapi, berdasarkan tulisan pada batu marmar di Masjid Huaishengsi, ia menyatakan bahawa Saad bin Abu Waqqas diutus oleh Rasulullah saw ke China.
Tidak ada sebarang petunjuk dari buku ini siapakah sahabat yang diutus oleh Rasulullah saw ke China bermula 1H melainkan cuma bukti tulisan batu marmar di Masjid Huaishengsi. Pada pendapat saya, sahabat yang diutus bermula sejak 1H lagi adalah Saad bin Abu Waqqas berdasarkan bukti tulisan batu marmar itu dan beliau diutus sekali lagi pada masa pemerintahan Khalifah Saidina Usman bin Affan untuk kerja-kerja dakwah di China.
Walau bagaimanapun, terdapat teori yang lain tentang siapakah sebenarnya pelopor dakwah Islam di China. Selain daripada Saad bin Abu Waqqas, dikatakan Abu Hamzah bin Hamzah juga telah tiba di China pada pemerintahan Thai Sung (627-655) dan juga Saad bin Lubayd yang telah tiba di Canton pada 630M.
Namun begitu, persamaan antara ketiga-tiga tokoh tersebut ialah mereka telah tiba di China sejak pemerintahan Dinasti Tang lagi.
Menyusuri sejarah tamadun China, ia bermula sejak Dinasti Hsia (2100SM), diteruskan oleh Dinasti Shang (1700SM), Dinasti Chou (1027-221SM) dan Dinasti Han. Dinasti Han merupakan zaman kegemilangan tamadun China dan mereka pula menjalinkan perhubungan perdagangan dengan negara luar termasuk Arab. Dari sini, ia merintis kepada perhubungan perdagangan dan berlanjutan hingga ke Dinasti Tang.
Selain daripada hubungan perdagangan dan utusan dari kerajaan Islam berdakwah ke China, pemerintahan Dinasti China juga menjalinkan perhubungan politik dengan kerajaan Islam bermula pada pemerintahan Dinasti Tang.
Pada 755M, pemberontakan An Shi telah tercetus dan menyebabkan Maharaja Tang Zuan Zong lari ke Sichuan. Ini mengakibatkan baginda merasa perlunya menjalinkan perhubungan dengan kerajaan Islam. Kerajaan Islam telah membantu baginda dengan menghantar bantuan ketenteraan untuk memulihkan pemberontakan itu. Sebagai balasan, umat Islam diberikan kawasan penempatan di China dan bebas berkahwin dengan wanita tempatan (suku Han).
Saya tidak pasti kerajaan Islam yang mana satu dimaksudkan yang telah menghantar bantuan ketenteraan kepada Maharaja Tan Zuan Zong. Adakah dari Bani Abbasiyyah atau Bani Ummayyah?
Ini kerana Khalifah Jaafar Abdullah Al-Mansur (Bani Abbasiyyah) ada menghantar pasukan berkuda bagi memulihkan pemberontakan An Shi. Di lain sisi pula, dinyatakan Khalifah Hisyam Abd Malik(Bani Umayyah) juga telah menghantar duta Sulaiman bagi menjalinkan perhubungan politik kepada China dan seterusnya memberikan bantuan ketenteraan semasa pemberontakan An Shi. Adakah ada 2 pemberontakan An Shi yang telah tercetus? Atau Khalifah Abdullah Al-Mansur bukan menghantar bantuan ketenteraan untuk pemberontakan An Shi tetapi untuk pemberontakan di Si Ngan dan Honan?
Walau apa pun persoalannya, Bani Abbasiyyah dan Umayyah pernah menjalinkan hubungan politik dengan China bermula pada pemerintahan dinasti Tang lagi. Keperluan untuk menjalinkan perhubungan dengan kerajaan Islam adalah menjadi bukti yang jelas tentang kekuatan kerajaan Islam pada masa itu sehingga boleh menyalurkan bantuan ketenteraan kepada sebuah kerajaan yang mempunyai tamadun yang tinggi.
Kejatuhan Dinasti Tang disebabkan oleh faktor-faktor penganiayaan dan penindasan kepada orang-orang Islam. Ini menyebabkan ramai pedagang Arab tidak mahu berdagang di China dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kejatuhan ekonomi China.
Melihat kepada kepentingan perhubungan terhadap pedagang-pedagang Arab (umat Islam), Dinasti Song menjalankan semula dasar berbaik-baik dengan umat Islam. Mereka melantik orang Islam dengan jawatan-jawatan penting di pelabuhan. Ini merangsang semula pertumbuhan ekonomi kerajaan China pada masa Dinasti Song.
Pada zaman pemerintahan Dinasti Yuan (Monggol), umat Islam semakin dipandang tinggi. Mereka diberi jawatan-jawatan penting negara. Dinasti Yuan tidak percaya kepada orang China tempatan kerana mereka khuatir mereka orang China akan bangun memberontak dan merampas takhta. Kegemilangan Islam di China diteruskan hingga ke Dinasti Ming yang merupakan zaman keemasan Islam.
Umat Islam mula menghadapi zaman gelapnya pada pemerintahan Dinasti Ching. Dinasti Ching mengamalkan dasar pecah dan perintah serta melaga-lagakan umat Islam dengan orang Han(tempatan China). Namun begitu ada juga majaharaja yang menjalankan dasar berbaik-baik dengan umat Islam seperti Maharaja Yun Chen dan Maharaja Ken Lung.
Kedatangan Islam ke China menyumbang banyak perkara seperti dari sudut perdagangan, bantuan ketenteraan, sistem pentadbiran dan politik serta ilmu sains, teknologi dan sastera.
Pada hari ni, kita hanya mewarisi cerita-cerita kegemilangan itu. Kita cuma mampu bercerita tentang keunikan budaya umat Islam di China. Jarang sekali kita sedar bahawa mereka memainkan peranan yang sangat penting suatu ketika dahulu. Mungkin saya boleh beranggapan tanpa kerajaan Islam dan umat Islam dahulu kala, negara China tidak akan wujud megah sehingga ke hari ini!
Rahsia Islam di China ditulis atas dasar mahu memaparkan kehebatan umat Islam di China mengikut kata-kata Ann wan Seng pada ruangan pengantar dan saya kira mesej itu disampaikan dengan baik melalui buku ini.